14/06/2013 - Siri Syarahan Tahunan KSN 2013 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar
Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan,
Dekan, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA,
Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA,
Staf Akademik Universiti Teknologi MARA,
YBhg. Dato’-dato’, Datin-datin, Saudara dan Saudari yang dihormati sekalian.
UCAPAN TERIMA KASIH
1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bertemu pada hari ini di Universiti Teknologi MARA sempena Siri Syarahan Tahunan Ketua Setiausaha Negara.
2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Teknologi MARA kerana sudi menjemput saya dan memberi syarahan bertemakan “Belia Hari Ini, Pemimpin Hari Esok: Menghayati Aspirasi Belia Ke Arah Pembinaan Negara Bangsa.”
3. Tema ini amat bertepatan dengan keadaan semasa kerana dengan bilangan yang mencecah lebih 11.9 juta orang atau 41.5 peratus daripada jumlah populasi nasional, golongan belia pada masa kinilah yang akan menetapkan hala tuju negara dan membawa Malaysia ke arah status negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
4. Dengan ini, mengambil kira peranan golongan belia sebagai saf di barisan hadapan yang bakal memimpin negara, Kerajaan telah menyediakan ruang serta platform bagi golongan belia menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Saya akan merungkaikan perspektif ini berdasarkan kepada tiga fokus “I”, iaitu:
Information (Maklumat); Independent (Berdikari); dan Innovation (Inovasi). GENERASI Y ATAU “THE MILLENNIALS”
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
5. Sebelum saya menerangkan setiap fokus “I” yang disebutkan tadi, izinkan saya mengetengahkan perwatakan dan idealisme golongan belia zaman sekarang yang terletak di bawah payung Generasi Y atau juga dikenali sebagai “The Millennials.” Seperti yang kita sedia maklum, Generasi Y merupakan generasi yang lahir dari tahun 1980 sehingga tahun 2000 dan kini berada dalam lingkungan umur 15 – 30 tahun. Saudara-saudari yang berada di hadapan saya ini merupakan generasi yang pertama berhadapan dengan dunia komputer, internet dan teknologi maklumat.
6. Berdasarkan artikel bertajuk “The Me Me Me Generation” oleh majalah Time, Generasi Y disifatkan sebagai satu kumpulan yang bersikap narsisis (perasan / “syok sendiri”), mementingkan diri sendiri dan merasakan diri mereka istimewa. Ciri-ciri ini dianggap berbeza dengan generasi yang terdahulu, di mana nilai-nilai seperti menghormati orang yang lebih berpengalaman, mengamalkan kerja berpasukan dan mementingkan kerjaya yang stabil amat dititikberatkan.
7. Sungguhpun begitu, Generasi Y juga dikatakan mempunyai sikap yang kompetitif, berfikiran jauh, serta menggunakan keupayaan sendiri (merit) sebagai sumber kebolehan, daya keusahawanan dan kepimpinan. Pada pengamatan saya pula sebagai seorang bapa kepada anak- anak Millennials, generasi ini memiliki bakat dan potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Suara dan pandangan anda mampu menjana idea- idea baru yang bakal melakar potret Malaysia yang lebih indah dalam lanskap dunia yang sentiasa berubah. I. MAKLUMAT (INFORMATION) PERSONALITI MEDIA BARU
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
8. Dengan terciptanya internet, telah berlakunya ledakan maklumat yang tidak terhingga, serta peluasan rangkaian media sosial yang mencapai tahap global. Bagi generasi yang membesar bersama-sama teknologi ini, pendedahan yang diberi telah membuka pelbagai ruang dan peluang yang tidak pernah dirasai oleh generasi-generasi sebelum ini.
9. Mengambil satu contoh yang dekat dengan hati warga UiTM, kita lihat bagaimana Hanis Zalikha, seorang alumni UiTM Segamat yang merangkul Anugerah Naib Canselor pada tahun 2012, memulakan kerjaya “on-line” beliau sebagai seorang penulis blog. Gaya penulisan dan panduan hidup beliau telah berjaya menambat hati warga alam siber yang seterusnya melonjakkan popularitinya di media arus perdana. Bermula dengan platform blog, kini Hanis Zalikha telah menceburi pelbagai bidang termasuk permodelan, lakonan, pengacaraan serta penjenamaan produk.
10. Kejayaan Hanis Zalikha hanyalah satu daripada ribuan kisah kejayaan belia dalam memanfaatkan media sosial dengan sepenuhnya. Para usahawan Facebook dan sensasi Youtube yang lahir ini, merupakan satu sinergi antara keyakinan yang tersemat dalam jiwa Generasi Y digandingkan dengan keupayaan teknologi tanpa sempadan. Sesungguhnya, kuasa media baru yang berada dalam genggaman generasi ini wajar diberi panduan dan diacu kepada sesuatu yang membina.
WARGA ALAM MAYA YANG BERTANGGUNGJAWAB
11. Internet dan media sosial, yang kini dianggap sebagai media arus perdana, telah mewujudkan satu ruang yang luas tanpa batasan (“borderless”) untuk pertukaran maklumat dan pandangan melalui pelbagai saluran. Oleh itu, sebarang perkara yang diwacana atau dimuat naik akan menjadi sebahagian daripada ruang awam (“public sphere”), baik perkara itu fakta mahupun fitnah. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan tindakan beberapa individu yang menabur kebencian melalui media sosial. Iktibar daripada insiden ini perlu dihayati kerana disebabkan
kumpulan minoriti yang menyalahgunakan kebebasan bersuara, keharmonian dan kedaulatan negara boleh terjejas. Jangan kerana hanya setitik nila, rosak susu sebelanga.
12. Walaubagaimanapun, saya percaya dan yakin bahawa majoriti golongan belia bijak menyaring pelbagai maklumat yang disajikan di hadapan mereka, dengan merujuk kepada sumber yang sahih serta bertanggungjawab dalam mengendalikan diri di ruang siber. Saya menyeru kepada bakal pemimpin di hadapan saya ini untuk menggunakan media baru sebagai jambatan penghubung kepada kerajaan bagi menyalurkan suara dan aspirasi Generasi Y kepada barisan pemimpin masa kini. II. BERDIKARI (INDEPENDENT) KEKITAAN MELALUI KOMUNITI
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
13. Umum mengetahui bahawa salah satu daripada fitrah manusia adalah untuk menjadi sebahagian daripada satu kumpulan, agar prinsip yang dipegang dapat dikongsi bersama. Apabila keinginan berkumpulan pula diadaptasi oleh generasi Millennials ini, didapati semangat kekitaan yang terhasil telah dipupuk melalui pembentukan komuniti. Komuniti yang saya maksudkan ini didorong oleh minat, bakat dan nilai yang dikongsi oleh belia. Berbanding dengan persatuan atau kelab, komuniti tidak mempunyai struktur organisasi yang rigid malah bersifat fluid, di mana penglibatan belia tidak terikat kepada peraturan yang ketat serta bebas untuk menganggotai komuniti yang lain. Perkembangan komuniti ini juga dibantu oleh media sosial di mana pertukaran maklumat dan promosi acara dapat dihebahkan melalui butang “share” dan “retweet.”
14. Konsep komuniti yang saya gambarkan ini sebenarnya sedang direalisasikan oleh golongan belia di seluruh negara, termasuk di selatan tanah air melalui komuniti yang dikenali sebagai JOHO. JOHO merupakan satu platform bagi masyarakat negeri Johor menemukan bakat, idea serta produk melalui penganjuran festival seni, “road show” dan pasar karat. Saya difahamkan baru-baru ini, komuniti JOHO telah menganjurkan acara “Get Up! Kluang 2013” yang menghimpunkan persembahan artis, bazar seni, pameran fotografi serta konvoi Vespa yang berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri. Kejayaan mereka dipandang serius oleh kerajaan dan kini, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor sedang giat membantu JOHO dalam mengembangkan platform mereka ke serata negeri.
15. Contoh seperti JOHO ini jelas menunjukkan kreativiti dan semangat keusahawanan yang tersemai dalam jiwa golongan muda Malaysia. Justeru, saya ingin berpesan agar anda melibatkan diri dengan komuniti yang dapat mengembangkan pemikiran dan bakat, serta menjadi tauladan dan kepimpinan yang baik kepada anda. Penglibatan anda dalam kegiatan yang membina (“constructive activism”) jauh lebih bernilai daripada menjebakkan diri dalam kegiatan yang sia-sia, kerana sumbangan anda sekarang akan dinikmati dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia pada masa hadapan. PEMBENTUKAN SAHSIAH MELALUI KESUKARELAWANAN
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
16. Mengimbau kembali kenangan sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya, saya telah diperkenalkan dengan idea kesukarelawanan melalui program membaca kepada pelajar OKU Penglihatan yang dianjurkan oleh pihak universiti. Pengalaman tersebut merupakan antara kenangan paling manis dan berharga ketika berada di menara gading. Saya berpeluang untuk berkenalan dengan lebih rapat golongan istimewa ini dan memahami cabaran yang mereka hadapi. Pada zaman ini pula, kita dapat lihat bahawa gerakan kesukarelawanan di kalangan belia sangat aktif dan mensasarkan pelbagai bidang seperti golongan miskin dan alam sekitar.
17. Belia pada hari ini seharusnya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan memandangkan tahun 2013 merupakan Tahun Kesukarelawanan Kebangsaan. Memahami aspirasi belia masa kini, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah menubuhkan 1Malaysia For Youth (1M4U) dan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRE1M) pada Mei 2012 sebagai satu platform bagi belia melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan yang bersifat transformatif kepada masyarakat.
18. Satu program kesukarelawanan kreatif yang ingin dikongsi adalah kumpulan Telekung People dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merangkul juara pertandingan “My Uni Rocks.” Kumpulan ini menyediakan khidmat komuniti dalam membantu membersihkan telekung-telekung wakaf yang kotor dan menyumbang telekung bersih di kawasan tempat solat awam sekitar. Dengan kolaborasi 1M4U, Telekung People telah berjaya meluaskan perkhidmatan mereka ke surau dan masjid di Kuantan, Mentakab dan Mersing. Oleh itu, saya percaya bahawa para hadirin di hadapan saya ini mempunyai pelbagai idea yang menarik dan mengajak anda untuk menggunakan sepenuhnya DRE1M dan 1M4U Outreach Centre bagi menyemarakkan lagi semangat kesukarelawanan ke arah nation building. III. INOVASI (INNOVATION) GENERASI Y SEBAGAI PENJANA INOVASI
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
19. Berbalik kepada analisis Generasi Y sebelum ini, generasi ini turut disifatkan sebagai generasi yang self-reliant dan empowered. Apabila information (maklumat) di hujung jari dicantumkan dengan jiwa yang independent (berdikari), lahirlah budaya inovasi. Budaya inovasi ini sedang pantas diterapkan ke dalam minda Generasi Y sehingga mencapai satu tahap di
mana seseorang penulis blog boleh mencapai jumlah pembaca seperti akhbar arus perdana, ataupun pencipta “smartphone app” yang berupaya untuk menggegar industri teknologi maklumat (IT). Izinkan saya menghuraikan dua kisah yang menarik berkenaan inovasi oleh belia.
20. Kevin Systrom dan Mike Kreiger, dua graduan IT dari Amerika Syarikat, telah mencipta satu aplikasi telefon pintar (“smartphone app”) yang menggabungkan keupayaan rangkaian Facebook dengan teknik fotografi retro, yang kini dinamakan Instagram. Dua tahun selepas pelancaran Instagram pada 6 Oktober 2010, seramai 30 juta pengguna, termasuk saya, telah memuat naik hampir 150 juta gambar melalui aplikasi tersebut. Dengan pasaran yang begitu luas, Facebook telah membeli Instagram, yang pada ketika itu mempunyai hanya 13 pekerja, dengan harga USD$1 billion.
21. Di Malaysia pula, Chin Xin-Ci telah membangunkan “Watch Over Me,” satu aplikasi telefon pintar yang menjejak lokasi pengguna, serta mempunyai kebolehan untuk berhubung dengan polis apabila telefon pintar digoncangkan. Aplikasi yang difokuskan khas kepada keselamatan wanita telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 120,000 pengguna telah memuatnaik aplikasi tersebut sejak dilancarkan.
CABARAN EKONOMI INOVASI MASA DEPAN
22. Kejayaan Instagram dan “Watch Over Me” merupakan dua daripada ribuan inovasi yang sedang melanda pasaran dunia, dan Malaysia turut terlibat dalam penjanaan inovasi oleh golongan belia. Hal ini bertepatan dengan analisis Dr. James Canton dalam bukunya “The Extreme Future: The Top Trends That Will Reshape The World In The Next 20 Years” di mana beliau menjangkakan bahawa ekonomi inovasi berteraskan kolaborasi, modal insan dan teknologi akan mendominasi lanskap ekonomi global dalam masa 20 tahun.
23. Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri sedar akan kepentingan inovasi dalam memacu pembangunan dan ekonomi negara telah pantas menubuhkan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pada tahun 2010. Genovasi (Generasi Inovasi), di bawah AIM, pula bertujuan membimbing belia mengaplikasikan inovasi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan memajukan ekonomi melalui keusahawanan. Kini, AIM telah mengemukakan “Cabaran Genovasi” yang dijalankan sepanjang tahun untuk mengutip idea-idea kreatif untuk diterjemahkan kepada inovasi masyarakat terhubung (“connected communities”).
24. Dalam perkhidmatan awam, budaya inovasi diamalkan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berasaskan kepada kerjasama “breaking-the-silos” antara kementerian dan agensi kerajaan. Dengan kerjasama sebegini, sumber yang terhad dapat dioptimumkan agar program yang dijalankan berkos rendah, berimpak tinggi dan pantas dilaksanakan. Sebagai contoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) menggunakan bangunan sedia ada dan ditransformasikan menjadi pusat khidmat setempat untuk kemudahan orang ramai. Penubuhan UTC adalah unik, yang mana pusat ini menempatkan lebih 50 agensi kerajaan,
swasta dan NGO yang beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari. Kini, skop NBOS diperluaskan lagi dengan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat, terutamanya sumbangan belia agar program-program ini lebih inklusif.
BELIA HARI INI, PEMIMPIN MASA DEPAN
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
25. Sebagai rumusan, saya ingin menegaskan kembali tiga fokus yang saya rasa sebati dengan jiwa Generasi Y atau the Millennials iaitu – Information, Independent dan Innovation. Dengan itu, Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai platform seperti kebebasan media sosial, penggalakan berkomuniti, 1M4U dan Genovasi untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia. Kerajaan juga sedar bahawa masih terdapat perbezaan ideal dan persepsi antara Kerajaan dengan Generasi Y. Ini bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana setiap generasi mempunyai nilai dan ekspektasi yang berbeza. Dengan itu, saya berharap golongan belia dapat terus berkomunikasi melalui saluran yang betul bagi membantu Kerajaan memahami kehendak dan aspirasi anda dengan lebih jelas.
26. Bagi meneruskan kesinambungan ini, Kerajaan baru-baru ini telah memperkenalkan Program Felo Perdana untuk memberi anak muda Malaysia yang cemerlang dan berbakat pengalaman secara langsung dalam urus tadbir negara. Felo dari kalangan graduan dan siswazah akan diberi peluang untuk bertugas di peringkat tertinggi dalam Kerajaan Persekutuan membantu Menteri-Menteri Kabinet dalam melaksanakan agenda transformasi negara.
26. Sebelum mengakhiri ucaptama ini, saya berharap para belia di dewan ini sentiasa membuka minda dalam menerima nasihat daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman sepertimana yang disebut Imam Malik Radiallahuanhu iaitu, “tidak akan berjaya generasi hari ini kecuali dengan mencontohi generasi sebelum mereka.” Saya juga menaruh harapan agar saudara-saudari belajar dengan tekun dan sentiasa ingat akan tanggungjawab anda kepada keluarga, masyarakat dan negara, kerana belia di hadapan saya ini bakal menjadi pemimpin yang hebat ke arah merealisasikan aspirasi dan wawasan negara.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Shares of niche antiviral drugmakers rocket on flu news; Major antiviral, vaccine makers also gain Val Brickates Kennedy MarketWatch 27 April 2009 Niche makers of antiviral products and vaccines see shares rocket on news of a possible global pandemic of the swine-flu virus. BOSTON (MarketWatch) -- Niche makers of antiviral products and vaccines saw shares rocket Monday on news of a possibl